You are here: Home About Naza Citra PM Lancar MPV Kedua Naza

Naza Citra Community - myCITRA.com

Banner

PM Lancar MPV Kedua Naza

E-mail Print PDF
MPV Kedua Naza

KUALA LUMPUR, 18 Jan 2005 (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari Selasa melancarkan "Naza Citra", kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dikeluarkan oleh syarikat automotif tempatan, Naza Kia Sdn Bhd.

"Naza Citra" berharga RM79,888 di Semenanjung Malaysia, RM82,143.86 di Sabah dan RM82,184.56 di Sarawak.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri berkata Malaysia kini menjadi laluan paling sesuai untuk syarikat-syarikat automotif menerokai pasaran serantau bagi mendapat manfaat daripada program liberalisasi seperti Kawasan Perdagangan Bebas Asean (AFTA).

Beliau berkata bantuan Kia Motors dari Korea Selatan kepada syarikat Naza dalam industri automotif akan memberi sumbangan besar kepada hasrat kerajaan menjadikan Malaysia satu pusat serantau bagi industri automotif.

Abdullah berkata kerajaan sedang menggubal satu dasar automotif nasional yang akan memberi gambaran jelas mengenai wawasan dan hala tuju industri automotif negara.

Beliau berkata industri automotif tempatan memerlukan perancangan rapi dan komitmen yang tinggi serta kerjasama erat di kalangan semua pihak termasuk pengilang tempatan, rakan kongsi asing, vendor dan pembekal serta agensi-agensi kerajaan yang terlibat.

Pengusaha automotif tempatan seharusnya mempunyai pelan jitu untuk mempertingkatkan lagi daya saing mereka daripada segi mutu dan harga untuk pasaran tempatan mahupun pasaran antarabangsa, katanya.

"Industri automotif tempatan haruslah lebih gigih dan inovatif untuk menerokai segala aspek pengeluaran termasuk reka cipta, kejuruteraan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D)," kata Abdullah.



Beliau menekankan pentingnya budaya berprestasi tinggi dan kualiti kerja tinggi di setiap tahap syarikat terutamanya bagi syarikat yang ingin bersaing di peringkat antarabangsa.

Abdullah berkata industri automotif tempatan perlu disokong oleh para vendor yang mampu membekalkan komponen bermutu pada harga berpatutan agar kenderaan buatan tempatan dapat bersaing di pasaran.

Katanya penggunaan teknologi dan produk terkini dalam segala aspek pengeluaran bukan sahaja dapat menjamin pengeluaran yang efisien tetapi juga dapat memenuhi cita rasa pelanggan masa kini.

Perdana Menteri berkata bahawa dengan berbekalkan semangat gigih dan penekanan kepada mutu keluaran yang tinggi, beliau yakin Malaysia dapat terus menghasilkan kenderaan yang mampu bersaing di pasaran global.

Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat-syarikat Naza Tan Sri SM Nasimuddin SM Amin berkata Naza Citra dikeluarkan di kilang Naza Automotive Manufacturing Sdn Bhd di Gurun, Kedah.

Beliau berkata Naza Ria, MPV pertama syarikat itu yang dikeluarkan pada 2003, telah mencatatkan jualan sebanyak 50,000 unit.

Naza Citra, kenderaan tujuh tempat duduk, dikeluarkan dalam enam warna iaitu Black Metallic, Crome Silver, Red Turbo, Diamond Silver, Hollywood Blue dan Baltic Grey.

Article Source: Bernama

 

Advertisement